Sunday, September 21, 2014

Cerpen Nukilan ~ PELANGI SELEPAS HUJAN

ASSALAMUALAIKUM.... 

Dah lama diri ini tak post sesuatu dlm blog.. Dah bersarang agaknya kan? Jadi di sini, aku telah nukilkan sebuah kisah.. Semoga ada sedikit pengajaran buat semua, atau paling tak boleh hilangkan stress sekejap. Semoga terhibur. Copyright preserved okay? :)

“Alah mak! Cikgu Rosmah masuk awal pulak hari ni… Hmm..biasanya lagi setengah jam nak habis kelas baru masuk… Hari ni mimpi apa pulak masuk awal?”Hati Ainul Syuhada berbisik tidak puas hati apabila Puan Rosmah, guru subjek Sejarahnya masuk ke kelas tepat pada masanya.Dia baru bercadang hendak berjumpa dengan Encik Najib, guru disiplin sekolahnya bagi membincangkan berkenaan kem jati diri pengawas yang bakal diadakan dua minggu lagi.
Nak tak nak dia terpaksa membatalkan rancangan tersebut dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap pembelajaran pada hari ini memandangkan peperiksaan SPM akan didudukinya dalam masa lapan bulan sahaja lagi. Eh, lapan bulan tu tak lama mana pun!Pejam celik pejam celik dah masuk bulan November.Ainul harus pandai membahagikan masa untuk belajar, bersukan dan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pelajar Perempuan.Kalau diikutkan ‘ranking’ yang dibuat oleh rakan- rakan sekelasnya, Ainul menduduki carta teratas pelajar ‘hot’ kerana dia bukan sahaja pandai, aktif bersukan, berjawatan tinggi malah cantik pula tu. Tetapi Ainul tidak pernah kisah dengan semua kelebihan itu kerana apa yang paling penting baginya ialah menimba sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu- ilmu supaya dia lebih matang dalam mendepani kehidupannya.
Dalam dia sibuk membelek- belek buku teks Sejarahnya, tiba- tiba dia menjumpai sepucuk surat tidak bernama yang diselitkan dalam halaman ke-143 buku tersebut. Hatinya berbolak- balik sama ada untuk membuka surat tersebut ataupun membiarkan sahaja. “Surat apa ni ye? Tak salah kut kalau aku baca sikit, kan aku jumpa dalam buku teks aku, so milik aku lah ni,” Walaupun Ainul masih ragu- ragu, namun keputusan telah dibuat. Ainul akan membaca surat itu! Tetapi bukan sekarang, tunggu balik rumah nanti. Masa tu baru ada ‘feel’ sikit kalau baca. Entah- entah surat cinta untuk Ainul kot.

Pada masa yang sama, Farhan Aliff memanjangkan lehernya memerhati tindak- tanduk Ainul. Kedudukannya yang agak jauh ke belakang menyukarkan dirinya untuk melihat sama ada Ainul membaca surat yang dikirimnya atau tidak. “Harap- haraplah Ainul baca surat tu,” bisik hati Farhan.
Kringggggg!!”Loceng menandakan tamatnya waktu persekolahan berbunyi dengan nyaring sekali.Memandangkan Ainul tiada sebarang aktiviti pada petang tersebut, dia berasa sungguh seronok kerana dia dapat meluangkan masa lapangnya dengan ibu tersayang.Dia dan Diana bersaing ke arah tempat letak basikal.Masing- masing bergegas ingin pulang ke rumah sehingga Ainul tanpa sengaja telah terlanggar bahu Diana.“Eh elok- elok la jalan!Kau ingat kau tu cantik sangat ke boleh senang- senang langgar aku?” ujar Diana memarahi Ainul.Ainul segera meminta maaf walaupun dia tidak sengaja melanggar Diana. Malas dia hendak melayan perangai Diana yang diketahui sejak dulu tidak menyukainya.
Setelah sampai ke rumah, Ainul segera membersihkan diri dan menunaikan solat Zohor. Sambil menyikat rambutnya, tiba- tiba dia teringat akan surat yang diterimanya. Dia segera melompat ke atas katil lalu mencapai beg sekolah yang diletak di hujung katil. Dia berasa terkejut apabila membaca isi kandungan surat tersebut. Sungguh tak disangka! Suratnya berbunyi begini:
Ainul! Aku rasa aku suka kat kau lah.Aku pun tak tahu kenapa.Dulu aku benci kau, tapi sekarang hari- hari aku teringat kat kau je.Boleh aku nak berkawan dan mengenali kau dengan lebih dekat?Jangan hampakan aku Ainul.
Ikhlas, Farhan
Farhan suka aku?? Biar betik! Peliknya!Bukan kah dia tak sukakan aku, selalu cakap aku mengada- ngada lah, sombong lah. Entah- entah dia nak kenakan aku je kot,” Ainul bercakap seorang diri memikirkan tujuan kawan sekelasnya, Farhan yang mengirimkansurat tersebut. Akhirnya, Ainul merasakan jalan terbaik ialah dengan tidak menghiraukan isi kandungan surat yang diterimanya. Yeah! Anggap saja tiada apa- apa yang berlaku dan teruskan kehidupan dengan ceria seperti sediakala.
Dua hari kemudian, kebetulan semasa Ainul berseorangan di dalam kelas pada waktu rehat kerana berpuasa sunat hari Khamis, dia dihampiri oleh Farhan. “Ehem, Ainul. Kau sibuk ke sekarang?”Ainul yang tiba- tiba terdengar orang bersuara, agak terkejut lantas terus memanggungkan kepalanya melihat insan yang tegak berdiri di hadapannya. “Oh, Farhan rupanya…. Eh, jap! Farhan?? Alamak apa aku nak cakap dengan dia ni?” Ainul cemas bermonolog di dalam hatinya.Tiba- tiba Ainul berasa tidak keruan. “Err, err sibuk jugaklah. Kenapa?”Ainul bersuara dengan sedikit gagap. “Oh, sebenarnya aku nak tanya. Kau dah dapat surat yang aku tulis?”Dengan selamba Farhan bertanya.Apalagi terus merah menyala pipi Ainul yang semula jadi putih kemerah- merahan. Ainul yang cuba sebaik mungkin mengawal riak wajahnya lantas mengelak. “Eh, tiba- tiba aku sakit perut lah. Aku pergi tandas dulu,” ujar Ainul sambil bergegas berlalu pergi tanpa sempat Farhan berkata apa- apa.
Farhan yang terpinga- pinga dengan tingkah Ainul kembali ke tempat duduknya dengan perasaan yang hampa. Baru sahaja dia hendak meluahkan perasaannya secara ‘live’ di hadapan Ainul, Ainul dah lari awal- awal. “Hmm, takpelah. Walau apa pun yang terjadi, aku tak kan berputus asa merebut hati Ainul,’’ ujar Farhan menyimpan tekad di dalam hati.
Sejak hari itu, pelbagai cara telah digunakan oleh Farhan bagi memikat hati Ainul. Selain selalu mengirim nota- nota bertulis ayat- ayat motivasi kepada Ainul, cara belajarnya juga telah diubah. Demi berdiri setanding dengan Ainul, dia harus cemerlang dalam bidang akademik juga. Dia belajar secara bersungguh- sungguh dengan menumpukan perhatian sepenuhnya ketika guru mengajar, aktif bersoal- jawab dengan guru apabila terdapat sebarang kemusykilan, mendampingi rakan- rakan sekelas yang selalu mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran dan selalu membuat nota ringkas setelah tamat mempelajari topik baru. Namun begitu, permainan bola sepak yang aktif disertainya sejak di tingkatan dua lagi tidak sesekali diabaikan.Pendek kata, Farhan ini boleh dianggap sebagai ‘all rounded person’, bermakna serba serbi hebat.Nampaknya, Farhan menggunakan strategi yang bijak untuk memancing hati Ainul, iaitu dengan menjadi pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum agar Ainul nampak dirinya layak berjalan seiringan dengannya.Cewah!
Ainul sedar bahawa Farhan bersungguh- sungguh ingin ber’kawan’ dengannya. Dia faham akanniat Farhan namun dia masih belum bersedia untuk menjalinkan hubungan dengan mana- mana lelaki. Jadi, dia tidak pernah memberikan sebarang bentuk harapan jauh sekali menabur janji kepada Farhan.Apa yang penting ialah bidang akademik. Dia tidak akansesekali membiarkan pelajarannya terabai hanya kerana cinta. Selepas tamat peperiksaan SPM nanti, barulah dia akanmula memikirkan soal ini dengan serius.
Akhirnya, peperiksaan SPM telah tamat.Kertas peperiksaan terakhir yang diambil oleh Ainul dan Farhan ialah Biologi Kertas 3.Masing- masing menadah tangan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana berjaya menduduki peperiksaan dengan tenang dan lancar.Sesudah berusaha dan berjuang, kini masanya mereka berdoa dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Berkuasa. Ketika asyik mengemas begnya, Ainul teringat akan nota terakhir yang dikirim oleh Farhan kepadanya sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM lebih kurang tiga minggu yang lalu.
Saat untuk menghadapi peperangan itu hampir tiba.Selamat berjuang sahabatku. Aku berdoa kita sama- sama berjaya dan peroleh keputusan cemerlang. (‘’,)
P/s: Lepas tamat paper terakhir kita nanti, tunggu aku di depan pintu pagar sekolah. Please.
            Ainul rasa mungkin sudah tiba masanya untuk dia membalas perasaan Farhan padanya.Ainul yakin perasaan Farhan padanya jujur.Setelah tiba di luar pintu pagar sekolah, Ainul menghampiri Farhan yang sedang leka memandang panorama jalan raya.
“Assalamualaikum Farhan.”
“Oh, Waalaikumsalam.Kau dah sampai?Terima kasih sebab sudi datang jumpa aku.”
“Erm, ok.”
“Macam mana paper 3 Biology tadi? Kau mesti boleh jawab kan?”
“Alhamdulillah.Allah permudahkan urusan aku.Kau pulak?”
“Alhamdulillah, aku pun sama.”
“Baguslah macam tu.”
Tiba- tiba suasana bertukar sepi. Mereka seperti kehilangan modal untuk berbual. Farhan lantas mengajak Ainul pulang bersama. “Em, Ainul. Jom aku temankan kau balik. Lagipun jalan ke rumah kita sama. Sambil tu boleh kita berbual- bual.”Ainul bersetuju dengan cadangan yang diutarakan Farhan.Mereka menyusuri jalan pulang ke rumah bersama- sama sambil berbual- bual tentang rancangan masa depan mereka. Tanpa mereka sedari, Diana yang bersembunyi di sebalik pagar sekolah menyaksikan situasi mereka berdua.Semakin meruap- ruap cemburu di hati Diana terhadap Ainul. Dia berasa sungguh geram apabila Farhan yang disukainya selama ini menyimpan perasaan pada orang lain, dan orang lain itu rupa-rupanya Ainul, yang dianggap saingan terdekatnya dalam setiap bidang!
Ainul dan Farhan berbual- bual sambil berjalan menuntun basikal masing- masing. “Err,Ainul. Kau tahu kan aku suka kau? Bagi aku, kau macam sumber inspirasi aku untuk berjaya,” Farhan tiba- tiba bersuara memulakan mukaddimah luahan hatinya.Ainul yang sudah dapat mengagak persoalan ini akan ditanya Farhan seakan- akan sudah bersedia dengan jawapannya. Tiba- tiba dia berhenti berjalan seketika.“Aku tahu perasaan kau pada aku.Tapi aku harap kau dapat bagi aku masa. Aku akan bagitahu jawapannya semasa hari kita mengambil keputusan SPM kita nanti. Boleh Farhan?” Ainul bijak memberikan jawapan yang selamat agar dia tidak nampak seperti tergesa- gesa dalam membuat keputusan meskipun kini dia sudah sedar akan isi hatinya pada Farhan. Sebenarnya, Farhan tidak bertepuk sebelah tangan! Farhan yang berasa sungguh gembira dengan pernyataan Ainul lantas membalas, “Boleh Ainul.Aku tak kisah.Kau sudi pertimbangkan perasaan aku pada kau pun aku dah cukup syukur.Terima kasih Ainul.”  “Hehe, takde hal la Farhan,” ujar Ainul tersipu- sipu malu.
Ok lah Ainul, dah sampai dah pun kat rumah kau. Lepas ni, aku harap kita tak ‘lost contact’ ye? Simpan nombor telefon aku baik- baik ye.Apa- apa hal kau contact aku. Aku akan sentiasa ada untuk kau,” ujar Farhan sebelum beransur pulang. “Baiklah Farhan, aku akan simpan nombor kau. Terima kasih atas segalanya, termasuk nota- nota motivasi kau yang comel- comel,’’ Ainul berkata sambil mengukirkan senyum segaris kepada Farhan.Tiba- tiba Farhan mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya.Rupa- rupanya kotak yang mengandungi sebentuk cincin yang cantik bersinar- sinar. Wah, beruntungnya Ainul!  “Nah, untuk kau! Pakailah cincin ni kalau kau sudi terima aku. Kalau kau tak sudi terima, kau boleh pulangkan semasa hari kita ambil ‘result’ SPM nanti.”Dengan teragak- agak, Ainul mengambil kotak tersebut.Selepas melambaikan tangan kepada Farhan, Ainul terus masuk ke dalam rumahnya.
Semenjak hari itu, boleh dikatakan Ainul dan Farhan kerap berhubungan melalui mesej antara satu sama lain. Farhan bagaikan dapat mengagak bahawa Ainul turut berkongsi perasaan yang sama dengannya. Namun, dia tidak mahu terlalu berharap dan akan terus bersabar menanti detik kepastian nanti.
Kini tinggal seminggu sahaja lagi sebelum keputusan peperiksaan SPM bakal diumumkan. Ainul dan Farhan masing- masing berdebar- debar dan tidak sabar menanti hari bersejarah tersebut menjelma. Ainul berasa tidak sabar- sabar untuk menyatakan perasaan hatinya kepada Farhan manakala Farhan berasa ‘eksaited’ untuk mengetahui jawapan cinta Ainul kepadanya.
Pada petang itu, Farhan bercadang untuk singgah ke kedai gunting rambut Pak Awie. Biasalah kalau cuti lama macam ni, pastinya rambut pelajar- pelajar lelaki dah panjang berjela- jela! Sebelum mengambil keputusan SPM, rambut perlulah dipotong pendek dahulu, barulah tak terkejut warga sekolah yang lain. Sedang dia cuba untuk membelok motosikalnya masuk ke simpang kanan Jalan Kacak, tanpa disedari ada sebuah lori yang cuba memotong kereta di hadapannya tidak dapat mengawal pemanduan. Tiba- tiba bunyi pergeseran yang kuat kedengaran lalu “Dumm!!”Lori tadi terbabas lagu melanggar motosikal Farhan dari arah belakang.Akibat hentakan yang kuat pada batu besar yang tajam di tepi jalan raya itu, Farhan mengalami kecederaan yang parah pada bahagian kepalanya.Darah membuak- buak mengalir menuruni pipinya.Badannya yang dihempap oleh motosikalnya terkulai layu di atas jalan raya. Keadaan Farhan sungguh kritikal!
Farhan segera dikejarkan ke hospital terdekat lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).Akibat hentakan yang kuat pada batu tajam, Farhan disahkan terlantar koma. Ainul yang menerima berita itu menerusi maklumat dari rakan- rakannya yang lain bagaikan tidak mampu mengawal emosi. Air matanya jatuh berlinangan di pipi.Dia membuat keputusan untuk pergi melawat Farhan di hospital.
Setibanya di hospital, Ainul menemui ibu bapa Farhan yang setia menjaga anak kesayangan mereka yang masih tidak sedarkan diri.Setelah bertanya tentang keadaan Farhan, Ainul diberikan ruang oleh Encik Yazid dan Puan Haliza untuk bersendirian dengan Farhan.Ainul yang sebak melihat keadaan Farhan yang berbalut- balut pada hampir keseluruhan badan terhinggut- hinggut bahu menahan tangisan.“Farhan, Ainul datang.Bangunlah segera Farhan.Ainul dah ada jawapan untuk soalan Farhan. Ainul pun sukakan Farhan,” Ainul bersusah payah cuba menuturkan ayat tersebut kerana diselangi dengan sedu sedan. Tiba- tiba dada Farhan kelihatan seperti berombak kencang.Ainul cemas lalu bertindak memanggil ibu bapa Farhan.Mereka segera menjerit mencari doktor yang bertugas. Pihak hospital cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Farhan, namun Allah lebih sayangkannya. Arwah tidak dapat diselamatkan dan pergi meninggalkan insan- insan tersayang buat selama- selamanya.
Hari pengumuman peperiksaan SPM telah tiba.Ainul berasa tidak bersemangat untuk hadir ke sekolah bagi mengambil keputusan peperiksaannya.Dia masih bersedih dengan pemergian Farhan dan tidak mungkin semudah itu dia dapat melupakan memori kisah mereka yang terlakar kemas dalam ingatannya.Namun, dia menggagahkan jua diri melangkah ke sekolah. Dia harus kelihatan kuat di hadapan guru- guru dan rakan- rakannya yang lain.
Ternyata keputusan SPM Ainul sangat cemerlang.Dia memperoleh keputusan straight A+ dan terus dinobatkan sebagai pelajar terbaik di sekolahnya.Farhan pula dikhabarkan memperoleh keputusan yang tidak kurang hebatnya, iaitu 6A+ dan 3A.“Alhamdulillah. Tahniah Farhan, kita sama- sama berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang sebagaimana yang kita harapkan. Insya Allah walaupun awak dah pergi, saya akan tetap menyambung cita- cita kita untuk menjadi doktor pakar bedah yang berjaya,” Ainul membisikkan tekad seakan- akan dia sedang berbicara dengan Farhan. 
Walau apa pun yang berlaku, hidup harus diteruskan. Ainul menganggap telah tertulis di loh mahfuz tiada jodoh di antara dia dan Farhan.Dia redha.Semoga roh arwah dicucuri rahmat sentiasa.
Setelah melakukan persediaan A-Level selama dua tahun di Malaysia, kini Ainul sudah tiba di bumi Ireland bagi meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan.Dia berazam untuk meneruskan kecemerlangannya dalam bidang pelajaran seterusnya dapat berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.
Pada suatu petang yang dingin, ketika Ainul sedang seronok bersiar- siar untuk menenangkan fikiran bersama sahabatnya di tepi tasik di pinggir bandar Dublin, Ainul terperasan akan kelibat lelaki yang seakan- akan mirip arwah Farhan. Cuma bezanya lelaki itu lebih tinggi dan agak berisi berbanding Farhan. Ainul ragu- ragu sama ada dia patut menegur lelaki yang sedang mengambil gambar pemandangan di situ atau tidak. Matanya hanya terpaku memandang lelaki tersebut.Tiba- tiba lelaki itu menghampiri Ainul lalu menyapanya.“Assalamualaikum. I saw that you looked at me just now. Anyway, kita pernah kenal ke?” Laaa, orang Malaysia rupanya mamat ni! “Err err, Waalaikumsalam. No. I’m sorry; just now I’m a bit confused. Your identical face reminds me of my old friend. I’m so sorry for making you feel uncomfortable,” Ainul cuba mengawal air mukanya dan meminta maaf terhadap lelaki itu. “It’s okay. Anyway, I’m Syed Razin, a third year student from Royal College of Surgeons right here. How about you?”Lelaki tersebut nampak seperti peramah dan memperkenalkan dirinya kepada Ainul.Nak tak nak Ainul terpaksa membalas pertanyaan lelaki itu. “I’m Ainul Syuhada, also study medical from RCSI but a first year student. I just arrived here about three weeks ago.” “Oh I see. So Syuhada, you’re my junior here. Nice to meet you, pretty girl! Ok, I’ve got to go. Till we meet again. Assalamualaikum,” Syed Razin terpaksa bergegas meminta diri kerana terdapat urusan yang harus diselesaikan dengan segera.



Ainul Syuhada tersenyum manis mengingatkan pertemuan pertamanya dengan Syed Razin, pelajar perubatan senior di kolejnya dahulu yang kini merangkap suaminya yang sah. Mereka telah dua tahun lebih mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata yang sangat comel yang dinamakan Farhan Aliff.Manakala Diana yang boleh dikatakan sebagai ‘musuh ketatnya’ dahulu kini sudah berbaik- baik dengannya sejak mereka sama- sama berkhidmat sebagai doktor di Hospital Selayang. Alhamdulillah, Ainul bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang.Semoga bahagia ini sentiasa menjadi miliknya. Insya Allah.
Kelihatan Ainul Syuhada menulis sesuatu di dalam diarinya;
Kadang kita meminta pada Allah setangkai bunga yang indah, tapi Allah SWT berikan kaktus berduri... Kita meminta kupu- kupu, tapi diberikan ulat. Kita pun sedih, kecewa bahkan marah!! Namun kemudian kaktus itu berbunga, indah sekali dan ulat itu pun menjadi kupu- kupu yang cantik. Itulah jalan Allah SWT, indah pada waktu-Nya! Allah tidak memberi apa yang kita harapkan, tapi Allah SWT memberikan apa yang kita perlukan. Kadang kita sedih, kecewa, terluka, berburuk sangka. Tapi jauh di atas segalanya, Allah sedang merangka yang terbaik dalam kehidupan kita... TERIMA KASIH YA ALLAH ATAS RAHMATMU.

~ Tamat~